Skip this ad x
NAJIB (tengah), Ismail Sabri (enam kanan) dan Adnan (tiga kiri) bersama peserta pada majlis penyampaian dividen RISDA Peringkat Nasional 2018 di Simpang Peragap, Kampung Ketam, Kerdau, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang
Abdul Razak Raaff; T N Alagesh dan Luqman Arif Abdul Karim.


DATUK Seri Najib Razak hari ini, mengumumkan pengagihan dividen berjumlah RM112.33 juta kepada 33,523 pekebun kecil di seluruh negara, tahun ini.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM39.59 juta diagihkan kepada 16,080 peserta Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB), manakala RM72.73 juta lagi kepada 17,443 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

“Jumlah bayaran dividen ini meningkat sebanyak 5.17 peratus kepada RM112.33 juta pada tahun ini, berbanding RM106.81 juta pada tahun lalu.

“Ini pasti menggembirakan peserta RISDA. Malah, saya juga menyampaikan sumbangan sosial RISDA berjumlah RM20,000 kepada lapan masjid, pusat tahfiz dan sebuah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitar daerah Temerloh,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Najib turut mengumumkan dana RM20 juta bagi bantuan musim pokok meluruh (pekebun tidak memperoleh pendapatan) dengan melakukan pelbagai kegiatan ekonomi lain.

“Saya luluskan dana khas untuk bantu pekebun tambah pendapatan seperti menternak lebah kelulut, ternakan ikan air tawar atau tanaman kontan jangka pendek,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri tetap yakin bahawa masyarakat luar bandar termasuk pekebun kecil adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, agenda pembangunan masyarakat luar bandar termasuk pekebun kecil RISDA perlu dilakukan secara berterusan.

“Ia (pembangunan luar bandar) tidak boleh selesai satu atau dua generasi tetapi kesinambungan ini perlu diteruskan. Jadinya dengan kuasa politik adalah penentu segalanya.

“Sokongan mereka (pekebun kecil) kepada BN diharap juga berterusan pada pilihan raya kali ini supaya komitmen kerajaan untuk pembangunan luar bandar yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa dapat diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 5:14 PM