ANGGOTA polis melakukan siasatan kemalangan maut membabitkan warga Bangladesh, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


LELAKI warga Bangladesh maut akibat dihempap konkrit seberat 500 kilogram apabila muatan yang dibawa lori itu terjatuh ketika membuat pusingan U.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang di Kilometer 60 Jalan Batu Pahat-Mersing ketika mangsa Amir Mahmud, 41, mengawal lalu lintas bagi membolehkan pemandu lori membuat pusingan U di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, mangsa dikatakan sedang menjalankan kerja pemasangan paip air di lokasi kejadian sebelum berhenti untuk membantu pemandu lori terbabit.

Katanya, kedudukan mangsa dengan lori itu terlalu dekat menyebabkan dia tidak dapat mengelak apabila konkrit itu tiba-tiba jatuh dan bergolek ke arahnya.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah di bahagian badan dan kepala disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang berkemungkinan disebabkan kecuaian ketika meletakkan muatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 11:59 PM