Foto Arkib NSTP
Nor Akmar Samudin dan Awaina Arbee
cnews@nstp.com.my

MANIFESTO Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan malam tadi memberi penekanan terhadap pendidikan iaitu Kemasukan Pendidikan Sesuai Masa Depan Untuk Revolusi Industri 4.0.

Ia termasuk mencadangkan menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kepada Universiti P Ramlee (UPR) bertujuan memacu industri kreatif dan kebudayaan di negara ini.

BN percaya pencapaian sesebuah tamadun tidak boleh diukur dari sudut ekonomi semata tetapi juga harus ditimbang melalui aspek kemajuan ilmu, perkembangan apresiasi seni, sastera, budaya dan ketinggian akal budi sesuatu bangsa.

Justeru sejak berdekad lama, kerajaan sudah berusaha membina negara bangsa yang melambangkan ketamadunan ilmu dan nilai kemanusiaan tinggi.

Objektif berkenaan direalisasikan dengan membentuk fokus kepada soal kebajikan rakyat, kesukarelawanan, perpaduan antara kaum dan keadilan untuk semua.

Selepas penjenamaan semula ASWARA, UPR akan berdiri sendiri dengan mengambil model universiti sedia ada sebagai panduan dan menggunapakai terma terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2012 sebagai panduan bagi menjadi universiti awam.

Pemilihan nama UPR disebabkan sumbangan besar Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam industri seni tanah air.

Cadangan untuk ASWARA dinaik taraf sebagai sebuah universiti penuh di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dicadangkan pada 2015.

Bagaimanapun difahamkan, kampus induk Universiti P Ramlee (UPR) yang dinaik taraf daripada ASWARA sudah pun dilancarkan di Taman Ilmu, Tembila, Besut , Kuala Terengganu, pada 15 Mac lalu oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:53 PM