Foto Arkib NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


SEBANYAK 52 lagi projek infra rakyat termasuk berimpak tinggi bakal dilaksana Barisan Nasional (BN) bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai memenuhi keperluan rakyat selain melonjak pertumbuhan ekonomi di segenap desa dan bandar seluruh negara.

Bagi tempoh itu, BN menetapkan aku janjinya meneruskan pelaksanaan projek berkelas dunia seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer (km) serta melengkapkan projek sistem Aliran Transit Ringan (LRT) dan Aliran Transit Massa (MRT) fasa tiga.

Selain itu, BN akan membina pelabuhan bertaraf dunia di Pulau Carey sebagai hab maritim terkini dengan nilai pelaburan RM200 bilion.

Bagi meluaskan lagi sistem jaringan jalan raya, BN akan membina lebuh raya Laluan Lingkaran Tengah menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memacu pertumbuhan ekonomi baharu di Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Lebih banyak lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dibina di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan, memudahkan urusan rakyat dan membantu usahawan kecil.

Tidak dilupakan, khusus bagi rakyat Sabah dan Sarawak, BN akan mengukuhkan lagi jaringan pengangkutan dan kesalinghubungan di dua negeri itu dengan menaik taraf sepanjang 12,500 km jalan luar bandar.

Disamping itu turut meluaskan liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM2.3 bilion, meneruskan subsidi bekalan air di pedalaman Sabah serta membina Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) bernilai RM4.3 bilion bagi menstabilkan bekalan elektrik dan memacu pembangunan ekonomi di Sabah.

BN juga akan membina lapangan terbang Mukah dan Lawas membabitkan peruntukan RM758 juta serta menaiktaraf infrastruktur pengangkutan di Pulau Labuan menerusi pembinaan jambatan dan menambah pelantar feri.

Buat masyarakat FELDA, sepanjang 422 km jalan di kawasan tanah rancangan itu akan dinaik taraf, selain menambah tanda, garisan dan lampu jalan meliputi 1,240 km serta menaik taraf 419 km sistem pembetungan di kawasan FELDA.

Bagi meningkatkan limpahan dan impak terhadap pelaksanaan projek berimpak tinggi, BN akan mewujudkan pembangunan bandar baharu moden dan hijau di sepanjang jajaran pengangkutan awam seperti ECRL, HSR dan Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru.

#Info :

Projek Infrarakyat

• -RM1.3 bilion - Naik taraf lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang, Langkawi serta lapangan terbang Kota Bahru dan Sandakan

• Bina Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Sigapura

• Bina landasan kereta api elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Subang

• Bina kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Tebedu, Sarawak dan Kalabakan, Sabah.

• RM86.5 juta - Naik taraf fasiliti jeti, terminal dan kompleks CIQ Pulau Langkawi.

• Menyiapkan pembinaan Lebih Raya Pantai Timur 3

• Naik taraf gerabak perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS).

• Bina Pelabuhan Darat Perlis di Lembah Chuping, Perlis.

• Naik taraf laluan kereta api Sabah dari Halogilat ke Tenom.

• Naik taraf sistem pengaliran dan saliran di 143 lokasi seluruh negara

• 18 buah pasar ikan seluruh negara dinaik taraf

• 20 pasar ikan dibina

• Tiga kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dinaik taraf

• RM150 juta dana menyelenggara dan mengganti lampu jalan luar bandar

• RM100 juta untuk pemasangan lampu jalan luar bandar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 9:59 PM