Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Seorang lelaki maut sejurus motosikal ditunggang merempuh kereta yang berhenti di bahu jalan di Jalan Sepanggar, di sini.

Dalam nahas jam 2 pagi semalam, Alwie Bryan Ahmad, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di badan.

Motosikal mangsa pula hampir terputus dua manakala bahagian belakang kereta Perodua Kenari remuk, tetapi pemandunya dilaporkan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, Perodua Kenari dipandu lelaki berusia 20 tahun dikatakan dari Sepanggar menuju ke Taman Jaya Diri.


ANGOTA polis mengusung mayat Alwie yang maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Sepanggar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu berhenti di tepi jalan untuk membuat panggilan telefon.

“Ketika pemandu berada di dalam kereta, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa merempuh belakang Perodua Kenari itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 6:19 AM