Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my


KETUA Menteri, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berkuat kuasa mulai esok.

Guan Eng berkata, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, membenarkan pembubaran itu pagi tadi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

"Saya sudah mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Tun hari ini, bagi membolehkan pembubaran DUN.

"Saya bersyukur Tun sudah memberikan kebenaran berkuat kuasa mulai esok," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, tengah hari tadi.

Lim berkata, notis pembubaran akan diserahkan kepada Yang Dipertua DUN Pulau Pinang dan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.


YANG di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas (tengah) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus menunjukkan watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Seri Mutiara, Jalan York, Georgetown. FOTO Facebook CM Lim Guan Eng

Terdahulu Lim diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus mengadakan pertemuan bersama Abdul Rahman di kediaman rasminya di Seri Mutiara pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu lalu, bagi membolehkan PRU-14 diadakan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, DAP menang 19 kerusi DUN, manakala PKR menang 10 kerusi dan PAS hanya satu.

UMNO pula menang 10 kerusi yang ditandinginya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 2:37 PM