KEBAKARAN yang berlaku di tapak pembinaan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Audrey Dermawan
audrey@nstp.com.my


TUJUH lelaki termasuk empat warga asing diselamatkan selepas terperangkap di tingkat atas bangunan dalam pembinaan yang terbakar di tapak projek perumahan mampu milik di Tanjung Tokong, Georgetown, semalam.

Enam daripada mereka termasuk seorang warga Myanmar dan tiga warga Pakistan dilaporkan dalam keadaan stabil. Sementara itu, seorang lelaki tempatan sesak nafas dan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Kebakaran itu dipercayai bermula di tingkat enam satu daripada tiga blok bangunan dalam binaan pada 5.30 petang.

Ketua operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, kesemua tujuh mangsa dibawa turun pada 9.30 malam.

"Kebakaran di Blok C dipadamkan sepenuhnya, kira-kira 11 malam," katanya.

Punca kebakaran masih belum diketahui.

Sementara itu, jurucakap pemaju projek terbabit mengesahkan kebakaran berlaku di tempat letak kenderaan.

"Kami sedang menyiasat punca kebakaran itu bersama pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Berita berkaitan:

Pemandu kren terperangkap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 12:49 AM