Anwar Hussin; Arfa Yunus dan Mohd Zulkfli Zainuddin
cnews@nstp.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan tidak pernah menjual janji tapi melaksanakannya untuk negara dan rakyat.

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuktikan kesungguhan kerajaan membawa perubahan yang dianggap transformasi besar dan pembaharuan ketara pada rakyat.

Beliau berkata, projek ECRL yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang ke wilayah barat akan mengubahkan landskap Pantai Timur sama ada ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Projek ECRL ini akan memberi 80,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak 1.5 peratus di Pantai Timur.

“Kita tidak menjual janji, kita laksanakan perubahan kepada Kelantan dan negara ini. Kalau kita nak sesebuah tempat itu maju kita mesti hubungkan wilayah itu dengan seluruh tanah air melalui pengangkutan.

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, pengangkutan kereta api yang menghubungkan wilayah barat menyebabkan kawasan seperti California membangun.

“Di Kelantan, kalau hendak ke Kuala Lumpur menggunakan kereta api yang akan mengambil masa selama lapan jam tapi dengan siapnya ECRL, ia akan memendekkan masa sehingga empat jam saja,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah ECRL, Tunjung, hari ini.


ORANG ramai melihat peta projek Laluan Rel Pantai Timur sempena majlis pecah tanah. FOTO Bernama

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd,Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Projek ECRL sepanjang 688 kilometer bernilai RM55 bilion yang menghubungkan antara Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor dijangka siap pada 2024 dibangunkan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Setakat ini, projek terbabit sudah 13 peratus siap sejak pembinaan bermula November tahun lalu dengan hampir kesemua kem induk ECRL di bawah Fasa 1 siap dibina iaitu di Tunjung (Kelantan); Kampung Raja, Kuala Nerus, Dungun, Kemaman (Terengganu); Mentakab dan Bentong (Pahang), membabitkan 44 terowong dengan terowong terpanjang di Pahang sepanjang 16.9 kilometer.

Perdana Menteri berkata, jika sebelum ini kerisauan timbul kepada anak muda di negeri ini yang mencari pekerjaan di luar Kelantan tapi apabila ECRL siap, ramai anak muda akan datang ke Pantai Timur untuk mencari kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 2:49 PM