FOTO Hiasan
Fazrik Kamarudin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihati orang ramai supaya menyimpan salinan transaksi pembelian barang dan perkhidmatan dalam talian supaya boleh digunakan sebagai bukti, jika berlaku penipuan.

Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Operasi Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Aminuddin Muhammad berkata, walaupun mangsa penipuan tampil membuat aduan, tindakan selanjutnya sukar diambil jika transaksi yang dibuat gagal untuk dibuktikan.

Katanya, sebelum membuat sebarang pembelian, buat persediaan untuk menghadapi kemungkinan akan terbabit dengan penipuan.

“œApabila kita ingin beli barang dan perkhidmatan dalam talian, kita letakkan diri kita sebagai seseorang yang mungkin akan ditipu, pertama sekali kenal pasti ‘domain’ yang menjual barang berkenaan, pastikan ia boleh dipercayai.

“Kemudian, rakam gambar skrin barang atau perkhidmatan yang ingin dibeli dan bukti pembayaran kepada penjual, kenal pasti juga butiran penjual seperti nombor telefon dan nama bank yang terbabit, kemudian simpan sehingga barang diterima.

“Apabila ada semua perkara ini, ia dapat dijadikan sebagai bukti dalam Tribunal Tuntutan Pengguna. Jika tiada bukti, amat sukar untuk kita ambil tindakan terhadap pihak yang didakwa melakukan penipuan,” katanya ketika ditemui selepas taklimat pelanggaran hakcipta dan cetak rompak digital di Balai Berita NSTP, hari ini.

Aminuddin berkata, KPDNKK sudah menganjurkan pelbagai kempen untuk membentuk kesedaran mengenai isu penipuan pembelian dalam talian.

“€œApa yang penting adalah sikap pengguna itu sendiri, jangan biarkan diri menjadi sasaran mudah pihak yang tidak bertanggungjawab, jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu menarik.

“Kebanyakan kes penipuan berlaku kerana pembeli teruja untuk mendapatkan barangan berjenama dengan harga yang amat rendah. Ada kes yang berlaku pengguna membeli sebuah telefon bimbit tetapi yang diterima adalah batu lesung dan kunci mangga.

“€œSelain itu , cuba minimumkan risiko untuk ditipu, jalankan urusniaga secara tunai atau COD (Cash On Delivery) dan beli barang dan perkhidmatan melalui platform yang memiliki rekod dan komen yang baik daripada pengguna,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 5:17 PM