MANGSA maut selepas motosikal yang dinaiki bersama anaknya terlanggar pokok tumbang di Baling, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
MANGSA maut selepas motosikal yang dinaiki bersama anaknya terlanggar pokok tumbang di Baling, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Safuri Kamarudin.


IBU maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar sebatang pokok yang tumbang di Jalan Batu Tujuh/Kejai, Baling, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa Noor Asimah Che Su, 52, dari Kampung Baru, Batu Tujuh, Kuala Ketil parah di badan dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anaknya, Sahrizan Zainol, 35, cedera.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke ladang tempat dia bekerja di Bukit Hijau dengan membonceng motosikal Honda C100 yang ditunggang anaknya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang dinaiki tidak sempat mengelak sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan sebelum melanggarnya dan terbabas.

Keadaan gelap di kawasan itu dipercayai menyebabkan mangsa tidak dapat melihat dengan jelas pokok tumbang terbabit.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, pembonceng motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang menerima rawatan pesakit luar di Hospital Baling (HB).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HB untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 6:41 PM