ORANG ramai melihat replika laluan Rel Pantai Timur pada Majlis Pecah Tanah ECRL Kelantan. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Zulkifli Zainuddin
mohd.zulkifli@nstp.com.my


PEMBINAAN lima stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini bakal menjadikan kawasan itu sebagai pusat bandar besar baharu dengan menyumbang lebih banyak pertumbuhan ekonomi kepada penduduk.

Lima stesen itu ialah di Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu di Tumpat; Tunjung, Kota Bharu; Jelawat, Bachok dan serta Tok Bali di Pasir Puteh.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek mega berkenaan akan membawa lebih banyak pembangunan, terutama di kawasan stesen sekaligus merancakkan lagi aktiviti perniagaan, pelaburan, dagangan dan pelancongan.

Beliau berkata, malah peluang pekerjaan untuk rakyat Kelantan juga bertambah dengan pembangunan yang dibawa kesan daripada pembinaan ECRL di negeri ini.

“Projek ini cukup penting kerana ia akan membawa pertumbuhan ekonomi yang besar untuk Kelantan terutama di Tunjung, yang akan menjadi pusat bandar terbesar sebaik stesen ECRL siap dibina.

“Kesan dan impak positif ini berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Dulu kita dipinggirkan, sekarang Najib akan terus menyayangi kita,” katanya ketika berucap selepas Majlis Pecah Tanah ECRL, di Tunjung, Kota Bharu yang dirasmikan Perdana Menteri.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak

Projek ECRL sepanjang 688 kilometer bernilai RM55 bilion yang menghubungkan antara Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka siap pada 2024 dibangunkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Sementara itu, Mohd Irwan yang juga Pengerusi MRL dalam sidang media selepas majlis terbabit berkata, setakat ini, seramai 185 pelatih yangtamat menjalani Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) sudah diserap bekerja dengan MRL.

“Pada tahun ini, kita akan melatih 700 pelatih untuk bekerja dengan MRL dan kita menjangkakan seramai 3,600 pelatih kesemuanya akan diserap masuk sebaik ECRL siap sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:20 PM