FOTO hiasan
Mohd Shafuan Khairi


BANDUAN kes rogol melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, malam tadi.

Lelaki itu Abdullah Mat Akib, 39, berasal dari Kuala Krai dipercayai melarikan diri dengan melompat pagar penjara pada 7 malam.

Sumber berkata, gerakan untuk mengesan banduan itu sedang giat dilakukan.

Katanya, ketika melarikan diri banduan terbabit hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju.

“Pihak polis sudah memaklumkan kepada semua balai polis untuk mengadakan 'Ops Tutup' bagi mengesan banduan itu.

"Selain itu, semua kereta peronda polis juga dimaklumkan bagi melakukan rondaan,” katanya.

Difahamkan, banduan terbabit sedang menjalani hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan sejak 2016 bagi kesalahan merogol.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengenai banduan itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di talian 09-7450999 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu di talian 09-7741022 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:47 PM