MOHAMAD Hasan (kanan) melawat Siti Nurul Hidayah di samping ibunya, Dayang Lohani di Hospital Tuanku Ampuan Najihah. FOTO Hazreen Mohamad
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


“Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga hasrat anak saya, Nurul jumpa Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan),” kata Dayang Lohani Awang Zain, 51, di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, hari ini.

Dia gembira hasrat anaknya, Siti Nurul Hidayah Mohamad Sofi, 20, yang lumpuh seluruh badan dan terlantar selama 14 tahun di hospital itu untuk bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan itu menjadi kenyataan.

Mohamad singgah melawat Siti Nurul Hidayah di HTAN ketika dalam perjalanan pulang dari satu majlis di Jempol, dekat sini, petang tadi selepas menyedari rakaman video mengenai hasrat gadis itu menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Dayang Lohani berkata, anaknya amat mengagumi Mohamad kerana kerap melihatnya di televisyen dan pelbagai medium lain termasuk YouTube dan aplikasi WhatsApp.

“Saya kerap menunjukkannya klip video ucapan atau ceramah beberapa tokoh termasuk Tok Mat. Baru-baru ini, ketika beberapa individu datang melawatnya, dia yang hanya mampu menggerakkan bibir untuk berkomunikasi memberitahu mereka dia teringin berjumpa Tok Mat.

“Tak sangka rakaman video itu menjadi tular dan mendapat perhatian Menteri Besar sendiri,” katanya sambil memberitahu Mohamad pernah melawat anaknya di HTAN lapan tahun lalu.

Mohamad meluangkan masa selama kira-kira 15 minit beramah mesra dengan Siti Nurul Hidayah serta ibunya.

Harian Metro pada 2015 pernah melaporkan Siti Nurul Hidayah terlantar di HTAN akibat penyakit Cervical Cord Myelopathy iaitu kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru selepas terjatuh di bilik air ketika berusia enam tahun.

Lebih menyedihkan dia yang juga anak ketiga daripada lima beradik hanya mampu menggerakkan bibir sebagai isyarat jika mahu meminta sesuatu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:14 PM