RAKAMAN video dan gambar yang tular di laman sosial kononnya polis trafik bermotosikal membawa bendera parti politik.
Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my


JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menafikan dakwaan kononnya ada anggota polis trafik yang membawa bendera parti politik ketika mengiringi konvoi perlumbaan basikal.

Perkara ini dikesan berdasarkan rakaman video dan gambar yang tular dalam laman sosial sejak minggu lalu yang menunjukkan seorang anggota polis trafik bermotosikal kononnya membawa bendera parti politik.

Situasi ini dipercayai disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dalam keadaan negara bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata bendera berkenaan adalah bendera berlogo pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ianya adalah kedudukan petugas bagi sesebuah konvoi perlumbaan basikal atau mana-mana konvoi kenderaan yang membabitkan jumlah kenderaan yang banyak.

"Kedudukannya di bahagian belakang sekali selepas permulaan konvoi didahului dengan bendera merah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Belia berkata, tujuannya adalah memberi isyarat kepada petugas lain seperti jarak konvoi di hadapan dan di belakang.

"Jarak antara bendera merah sehingga bendera hijau adalah sebagai petunjuk zon selamat yang dikawal oleh petugas atau anggota terbabit," katanya.

Sharul berkata bendera hijau juga adalah penanda terakhir pergerakan konvoi berkenaan dan selepas itu segala pergerakan lalu-lintas adalah di bawah kawalan pengguna jalan raya itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:23 PM