LEMBU diselamatkan oleh anggota bomba selepas terperangkap dalam longkang. FOTO ihsan Bomba
Razif Rosli
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA bomba menyelamatkan seekor lembu yang terperangkap dalam longkang berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit, hari ini.

Dalam kejadian 4.05 petang itu, haiwan itu terperosok ke dalam longkang sedalam 1.2 meter.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Salleh Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 4.20 petang.

“Tujuh anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dan tindakan menyelamat haiwan itu dilakukan.

“Kita turut mendapat kerjasama daripada orang awam yang menggunakan jengkaut bagi menarik keluar lembu menggunakan tali khas,” katanya ketika dihubungi di Parit, hari ini.

Salleh berkata, selepas dikeluarkan, lembu itu dalam keadaan lemah dan hanya mampu berjalan ke kawasan hutan berhampiran kira-kira 15 minit selepas dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:59 PM