Lim (kiri) mengangkat tangan Nga sebagai calon pakatan pembangkang. FOTO Muhaizan Yahya
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my

PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang untuk kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi pakatan pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam program ceramah pakatan berkenaan di Teluk Intan malam ini.

Nga dijangka berhadapan dengan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong yang sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan hasrat mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 31 Mei 2014.

Pada PRK itu, Mah menumpaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Nga pula pada PRU-13 memenangi kerusi Parlimen Taiping dengan menewaskan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe dengan majoriti 11,745 undi serta Dewan Undangan Negeri Jelapang menumpaskan calon BN, Chang Kok Aun dengan majoriti 4,604 undi.

Terdahulu, Nga dalam ceramahnya menawarkan diri untuk berkhidmat kepada pengundi Teluk Intan.

“Saya faham kuasa memilih di tangan rakyat, jadi 9 Mei ini adalah masa dan saatnya rakyat menunjukkan suara dan kuasa mereka,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas itu secara rasmi memperkenalkan Nga kepada orang ramai yang hadir.

Lim berkata, oleh kerana kerusi Parlimen Teluk Intan disandang oleh seorang menteri, maka pakatan pembangkang perlu mengemukakan ‘nama besar’ untuk memenangi kerusi itu.

“Kita akan hantar seorang tokoh yang akan dilantik menjadi menteri jika pakatan menang di Putrajaya, untuk bertanding di Teluk Intan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:05 AM