KENDERAAN tunda yang terbabas selepas melanggar dua pelajar perempuan. FOTO ihsan pembaca
Recqueal Raimi


PERJALANAN pulang dua pelajar perempuan bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut dirempuh kenderaan tunda di Jalan Ranau-Telupid berhampiran Kampung Matupang, Ranau, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matupang, Nor Aliz Khairunnisya Azazahari, 16, maut di lokasi kejadian dan rakannya, Elcy Hairyson, 15, patah kaki kanan selain luka pada kepala.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan mendapati pemandu kenderaan tunda, seorang lelaki berusia 33 tahun dikatakan memandu dari arah Ranau menghala Telupid dipercayai untuk menarik pacuan empat roda terbabit kemalangan di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan.

“Apabila tiba di selekoh ketika dalam perjalanan untuk menarik pacuan empat roda itu, kenderaan tunda terbabas ke bahu kanan jalan lalu melanggar dua pelajar yang berjalan ketika hampir tiba di rumah mereka.

“Berikutan itu, pemandu kenderaan tunda berkenaan patah kaki kanan dan mengalami kecederaan dalaman sebelum semua mangsa dihantar ke Hospital Ranau,” katanya dihubungi di Ranau, malam tadi.

Menurut Farhan, pemandu tidak disyaki mabuk selepas ujian darah diambil manakala keadaan cuaca baik serta jalan berturap.

Sementara itu, dalam kemalangan terdahulu pada kira-kira 2 petang, pemandu pacuan empat roda, Sulaiman Ariato, 28, maut, manakala dua penumpang kenderaan itu parah.

Mereka dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu sebelum pacuan empat roda memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori.

“Kedua-dua kes kemalangan di lokasi berbeza itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 9:58 AM