Nursyahirah Marzuki


POLIS menumpaskan geng curi motosikal dikenali Geng Iskandar susulan tertangkapnya tujuh lelaki yang aktif dengan kegiatan berkenaan di sekitar Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata semua suspek berusia 17 hingga 22 tahun itu ditahan secara berasingan oleh pasukan khas melalui Ops Lejang Khas dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Beliau berkata, dua suspek ditahan pada 27 Mac lalu selepas pihaknya menerima laporan cubaan mencuri motosikal Yamaha RXZ di Apartment Kenanga, Kolej Teknologi Timur, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

“Hasil siasatan terhadap dua individu itu, polis menahan lima lagi lelaki di sekitar Sepang yang turut sama terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

“Malah, melalui tangkapan ini, kita percaya dapat menyelesaikan 15 kes curi motosikal di sekitar Sepang dan daerah luar selain merampas lapan rangka, lima motosikal pelbagai jenis serta tiga enjin,” katanya pada sidang media di IPD Sepang, hari ini.


ABDUL Aziz (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan motosikal dirampas susulan penahanan Geng Iskandar pada sidang media di IPD Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut mendapat maklumat mengenai rangka motosikal dicuri yang dibuang ke dalam sungai di sekitar kawasan Sepang.

Beliau berkata, pihaknya yang dibantu pasukan penyelam Pasukan Polis Marin Putrajaya berjaya menemui empat rangka di Sungai Labu, Salak Tinggi dan empat lagi di Sungai Bukit Unggul, Dengkil.

“Difahamkan semua individu ditahan itu sudah tidak bersekolah dan bekerja, malah tiga daripada mereka dikesan positif dadah selain mempunyai rekod lampau kes samun dan dadah.

“€œGeng ini didapati bergiat aktif menjalankan kegiatan curi motosikal sejak akhir 2016 hingga kini dan mereka menggunakan alat pemutar skru pelbagai jenis untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

“Kita percaya beberapa lagi ahli geng ini masih bebas dan mereka menunggu waktu sesuai untuk melakukan mencuri motosikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 6:37 PM