MODENAS Dominar D400 berharga RM13,788 tanpa insurans. FOTO Mohd Razlan Salleh
MODENAS Dominar D400 berharga RM13,788 tanpa insurans. FOTO Mohd Razlan Salleh
Mohd Razlan Salleh


HAMPIR dua dekad menyepi selepas kali terakhir melancarkan model Jaguh 175 pada 1999, akhirnya Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan motosikal berkuasa tinggi sport tourer kedua, Dominar D400 dengan teknologi terkini dua roda.

Berharga RM13,788 tanpa insurans, jentera ketiga hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Limited (Bajaj Auto) menawarkan teknologi premium yang kebiasaannya hanya ditawarkan pada motosikal kelas premium.

Antaranya teknologi Slipper Clutch yang mengelakkan roda belakang terkunci apabila gear diturunkan dengan pantas pada kelajuan tinggi, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran untuk jarak pemberhentian lebih singkat dan teknologi tiga palam pencucuh ‘Digital Triple Spark’.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan) DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah, kejayaan jualan model Pulsar dan V15 selepas kerjasama dengan Bajaj Auto menguatkan lagi kepercayaan pihaknya untuk menawarkan produk terbaik.

“Ini adalah masa tepat untuk MODENAS menawarkan produk baru yang menepati kehendak peminat motosikal tempatan.

“Menerusi reka bentuk moden dan harga kompetitif, Dominar D400 pasti menjadi pilihan terbaik di pasaran,” katanya selepas pelancaran motosikal berkenaan, hari ini.

MODENAS Dominar D400 adalah motosikal sport tourer kelas pertengahan dan menjadi produk ketiga bersama Bajaj Auto selepas Pulsar dan V15.

Jentera ini dikuasakan enjin 373cc sejukan cecair yang menyalurkan kuasa 35PS pada 8,000 rpm manakala daya kilas maksimum 35Nm pada 6,500 rpm.

Dengan teknologi Digital Triple Spark, Dominar D400 menawarkan pembakaran sempurna dan optimum selain membantu mencapai kecekapan bahan api lebih baik.

Tangki bahan api 13 liter memastikan jarak perjalanan lebih jauh dan ideal sebagai pengangkutan harian atau tunggangan santai hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 9:45 PM