Otman
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Tiga buku simpanan di Lembaga Tabung Haji milik isteri dan dua anak bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd yang mempunyai simpanan lebih RM1.5 juta dikemukakan di Mahkamah Sesyen, di sini.

Ia dikemukakan melalui saksi ke-49, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau memberitahu mahkamah, berdasarkan buku Lembaga Tabung Haji milik Mastura Anwar (Isteri Otman), wanita itu mempunyai simpanan sebanyak RM1,320,641.31 dan transaksi kali terakhir adalah pada 21 Februari 2016.

Manakala dua lagi anak tertuduh masing-masing mempunyai simpanan sebanyak RM91,282.32 dan RM91,479.10 juga pada transaksi akhir pada 21 Februari 2016.

Turut menarik perhatian adalah tasbih mutiara berwarna putih dan 32 butang baju Melayu milik Otman dikemukakan kepada mahkamah.

Terdahulu, resit pembelian dua jam tangan mewah berjenama Cartier yang dibeli oleh Mastura turut dikemukakan ke mahkamah.

Dua resit itu mencatatkan pembelian dua jam model Rotande de Cartier Astrotourbillon berharga RM432,000 dan model Ballon Blue de Cartier berharga RM105,000 di Butik Cartier di pusat beli-belah KLCC oleh Mastura Annuar, 58, pada 7 April 2012 dan 2 Ogos 2011.

Selain itu, turut dikemukakan kepada mahkamah adalah dua kotak jam automatik berjenama mewah, Richard Mille.

Semua barang itu dikemukakan kepada mahkamah bagi ditandakan sebagai bukti dan sehingga kini lebih 1,000 barang, kotak dan dokumen dikemukakan.

Prosiding bersambung
hari ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin dan Aaron Chelliah serta Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 3:24 AM