Norhijah bersama arwah anaknya, Muhammad Aqkheer Al'Aerieq.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: “Saya masih merindui arwah, dia anak yang kuat dan cekal berjuang melawan penyakit. Apa saja berlaku saya kena reda dan kuatkan hati selepas kehilangannya.

“Setahun lebih arwah berjuang untuk teruskan hidup. Tapi masanya sudah tiba dan saya tahu Tuhan lebih menyayanginya,” kata Norhijah Abd Samad, 36, ibu kepada bayi berusia 20 bulan Muhammad Aqkheer Al’ Aerieq Mohd Nazib yang meninggal dunia akibat penyakit Histiocytic Sel Langerhans (LCH).

Muhammad Aqkheer disahkan meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, pada jam 10.15 pagi, 9 April lalu.

Jenazah Muhammad Aqkheer dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Pasir, Banting, Selangor pada jam 5 petang, hari sama.

Norhijah berkata, Muhammad Aqkheer dimasukkan ke HKL pada 29 Mac, namun dipindahkan ke ICU pada 1 April selepas mengalami gangguan pernafasan dan bacaan oksigen dalam badan semakin menurun.

“Ketika itu, saya memang tidak mampu menahan air mata daripada mengalir dan tidak putus-putus berdoa agar semua urusan kami dipermudahkan.

“Pada mulanya anak dirujuk ke HKL kerana masalah ruam pada badan yang semakin serius dan selepas melakukan imbasan X-ray doktor memaklumkan paru-parunya tidak berfungsi secara normal,” katanya ketika ditemui, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penderitaan Muhammad Aqkheer yang dikatakan empat kali tidak bernafas ketika menerima rawatan akibat penyakit LCH.

Kejadian cemas itu berlaku pada Disember 2016 dan masing-masing pada Mac, Jun dan Ogos tahun lalu.

Wanita itu berkata, Muhammad Aqkheer pada mulanya dikenal pasti menghidap penyakit Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH).

“Dua bulan kemudian baru doktor sahkan arwah sebenarnya menghidap LCH yang difahamkan turut mengganggu organ dalaman anak saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 4:41 AM