KEMALANGAN di Kilometer 75.1 Jalan Sitiawan - Taiping yang mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun maut. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


PERJALANAN lima sekeluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala seorang lagi parah selepas kereta dipandu bapa mereka bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 75.1 Jalan Sitiawan - Taiping, dekat Trong, Taiping, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa Muhammad Dayrish Farhan Muhammad Nurul Ikmal, 3, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping dan sepupunya Muhammad Daryyan Firzi, 2, parah serta kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat kecederaan di kepala.

Kemalangan yang membabitkan kereta Proton Saga dinaiki lima sekeluarga itu turut mengakibatkan bapa kanak-kanak yang maut, Muhammad Nurul Ikmal Mohamed Hasshim, 22, cedera, manakala ibunya Azrin Shafina Amrizal, 22, serta ibu kepada Muhammad Daryyan Firzi iaitu Amelia Rozi Amrizal, 30, terselamat.

Pasangan suami isteri berusia 58 dan 56 tahun yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Haval yang turut terbabit dalam kemalangan itu, juga cedera namun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima sekeluarga itu yang beralamat di Kampung Matang Gelugor, Matang di sini dalam perjalanan dari arah Sitiawan ke Taiping.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki pasangan suami isteri berasal dari Padang Serai dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki keluarga berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki cedera di kepala dan dikejarkan ke hospital, namun pada 11.45 malam, pihak hospital mengesahkan mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia, manakala sepupunya dirujuk ke HRPB untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan cuaca tidak hujan ketika kemalangan berlaku dan laluan adalah dua hala dengan jalan berselekoh dan mempunyai garisan berkembar di tengah.

"Kawasan kejadian juga gelap tidak berlampu serta tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas yang melihat kemalangan itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:11 PM