Tiga calon kaum India dari DHPP (dari kanan) J Applasamy, Kumaresan dan Yougan. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak

PAS mengumumkan 62 nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) negeri Perak membabitkan 19 Parlimen dan 43 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengumuman kesemua calon itu dibuat Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang turut bertanding di DUN Gunong Semanggol.

Lebih separuh daripada calon berkenaan adalah muka baharu kerana PAS hanya bertanding di 22 kerusi pada PRU-13.

Razman berkata, mengikut perancangan keseluruhannya PAS Perak akan bertanding di 65 kerusi termasuk dua lagi kerusi Parlimen yang belum diputuskan calonnya.

“Calon yang dipertaruhkan pada PRU kali ini membabitkan usia 29 hingga 64 tahun terdiri daripada pelbagai golongan termasuk profesional, aktivis politik, golongan muda dan muka lama.

“Kami yakin tsunami hijau akan berlaku di Perak dan calon-calon diumumkan ini akan mendapat sokongan pengundi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PRU-14 PAS Perak di Markas Tarbiyyah PAS Perak, di Taiping hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Menurutnya, hanya dua calon membabitkan kerusi Parlimen Taiping dan Beruas yang masih belum diumumkan.

Razman berkata, pilihan raya kali ini juga mencipta sejarah apabila buat pertama kali mencalonkan tiga wakil bukan Islam sebagai calon.

“PAS pertaruhkan tiga calon India dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Perak untuk bertanding di satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.

“Parlimen Kampar akan ditandingi Ketua Pemuda DHPP Perak, M Yougan, 31, manakala DUN Pasir Berdamar akan ditandingi Timbalan Pengerusinya, S Kumaresan, 47, serta DUN Sungkai ditandingi Setiausahanya, J Applasamy, 59, katanya.

Razman berkata, lima calon wanita juga dinamalan yang akan bertanding di dua Parlimen dan membabitkan Bagan Serai serta Parit dan tiga kerusi DUN iaitu Air Kuning, Pasir Panjang dan Bukit Chandan.

From: APEN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:52 AM