tukun bebola tiruan, yang digunakan bagi menggalakkan pertumbuhan terumbu karang.
Projek BEACON mula dilaksanakan di Taman Negara Similajau, Bintulu sejak empat tahun lalu terbukti berkesan dalam usaha memulihara pelbagai hidupan maritim di kawasan berkenaan.

Bintulu: Projek Pemuliharaan, Alam Sekitar dan Biodiversiti (BEACON) yang mula dilaksanakan di Taman Negara Similajau di sini, sejak empat tahun lalu, terbukti keberkesanannya dalam usaha memulihara pelbagai hidupan maritim di kawasan berkenaan.

Dilaksanakan PETRONAS melalui anak syarikatnya, Malaysia LNG Sdn Bhd sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya, inisiatif berkenaan turut berjaya meningkatkan kehadiran penyu, khususnya membabitkan spesies terancam seperti penyu hijau (Chelonia mydas) bertelur di pesisir pantai taman negara itu setiap tahun.

Ia turut membabitkan usaha menempatkan tukun bebola tiruan, khusus bagi menggalakkan pertumbuhan terumbu karang, sekali gus menjadi lubuk pembiakan pelbagai spesies hidupan laut, selain operasi pembersihan pantai.

Malah, kehadiran tukun bebola tiruan itu antara pendekatan terbaik dalam mengekang aktiviti pencerobohan nelayan asing yang dikesan sering berlaku di perairan itu dan kawasan berhampiran.


PETUGAS projek BEACON memeriksa peralatan yang digunakan dalam projek berkenaan.

Jurucakap Malaysia LNG dalam satu kenyataan memaklumkan semua telur penyu di pantai itu tidak akan dibiarkan, sebaliknya dialih ke tempat penetasan untuk memastikan ia menetas dengan baik serta tidak menjadi habuan pemangsa.

“Dengan kehadiran penyu di taman ini (sebelum ini sukar untuk dilihat), maka kita tidak lagi perlu pergi jauh, termasuk ke Pulau Talang-Talang di Sematan hanya untuk melihat penyu di situ,” katanya.

Selain Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak, khususnya badan bukan kerajaan (NGO) seperti Rakan Alam Semulajadi (Friends of Nature) Bintulu sememangnya dikurniakan kekayaan kepelbagaian sumber biodiversiti dengan alam sekitar serta keindahan taman negaranya yang sarat spesies flora dan fauna.

“Ini matlamatnya Projek BEACON diperkenalkan bagi memberi kesedaran kepada umum, khususnya generasi muda mengenai kepentingan usaha konservasi dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat sendiri.

“Ia juga sebagai platform bagi kumpulan pakar berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka, khususnya berkaitan kaedah melindungi biodiversiti dalam hutan dan memastikan usaha memulihara alam sekitar terus mampan,” katanya.

Menurutnya, satu daripada tiga perkara utama pelaburan sosial korporat PETRONAS memberi keutamaan kepada alam sekitar yang perlu dipelihara untuk generasi kini dan masa depan.

“Projek BEACON sehingga kini sudah mengadakan siri keempat aktiviti pembersihan pantai di Taman Negara Similajau. Ia turut membabitkan penanaman 1,500 bebola tukun tiruan di luar pantai Taman Negara Similajau, termasuk di Terumbu Karang Patricia yang terletak di lokasi 40 kilometer dari Bintulu,” katanya.

Beliau menjelaskan, bebola tukun tiruan itu sebagai tempat perlindungan pasif dan mampu menghalang aktiviti pukat tunda berbahaya kepada penyu.

“Setiap tahun kami menghantar penyelam untuk memantau aktiviti di terumbu karang itu serta membuang serpihan sampah laut di kawasan itu, selain memantau keadaan tukun tiruan di Terumbu Karang Patricia.


Setiap tahun penyelam dihantar untuk memantau aktiviti di terumbu karang serta membuang sampah di kawasan projek BEACON.

“Kami berharap beberapa tahun lagi akan dapat melihat taman batu karang berkembang di kawasan itu, sekali gus menjadikan Bintulu sebagai satu destinasi tarikan pelancong, khususnya komuniti penyelam skuba dan pakar hidupan marin, sekali gus menjana ekonomi Bintulu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, lebih banyak perlu dilakukan untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai pemuliharaan alam sekitar dengan membawa komponen kedua untuk projek BEACON iaitu Program Pemuliharaan, Pendidikan, Promosi dan Kesedaran (CEPA).

Selain Malaysia LNG, beberapa anak syarikat PETRONAS lain, termasuk Petronas Carigali dan Asean Bintulu Fertilizer (ABF) turut terbabit dalam inisiatif itu, di samping Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Keindahan Taman Negara Similajau turut menarik tumpuan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, malah ketika melawat taman negara itu, Mac tahun lalu, baginda malah turut bertitah agar kepelbagaian spesies flora dan faunanya sentiasa dipulihara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 4:59 AM