KAMARUL (kiri) terkejut dengan pembunuhan Fadi (gambar kecil).
Amir Abd Hamid


“Allahyarham secara peribadi tidak pernah mengadu kepada saya dia ada terima ancaman daripada mana-mana pihak. Kejadian pagi tadi memang jelas mahu membunuhnya dan sangat mengejutkan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Beliau berkata, mungkin kepintaran, kepakaran dimiliki dan salasilah keluarga Dr Fadi M R Albatsh Fatma, 35, menyebabkan pihak bermusuh dengan Allahyarham berasa terancam lalu nekad membunuhnya.

Katanya, Fadi yang juga pensyarah warga Palestin berasal dari Gaza dipilih MyCARE sebagai imam untuk mengetuai solat Tarawih setiap Ramadan sejak 2014 selepas menjalani saringan ketat.

“Saya tidak pernah dengar atau diberitahu oleh sesiapa mengenai Allahyarham diancam. Mungkin kebijaksanaannya yang menjadi ancaman kepada pihak berkenaan lalu dia dibunuh.

“Allahyarham bukan saja penghafaz al-Quran, malah memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan elektrik daripada Universiti Malaya (UM).

“Selain itu, salasilah keluarganya termasuk Taisir Al-Batash adalah Ketua Polis Gaza yang juga seorang daripada 18 orang yang syahid dalam serangan rejim Zionis Israel di Gaza pada 13 Julai 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tragedi membabitkan Fadi yang mati ditembak ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh, berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, 6 pagi tadi.

Kamarul Zaman berkata, sikap Allahyarham yang lemah lembut amat disenangi sesiapa saja meskipun baru kali pertama berjumpa, malah setiap patah perkataan dituturkan amat berhemah.

Selain itu, katanya, Allahyarham seorang yang amat mementingkan keluarga dan lebih gemar meluangkan masa bersama isteri serta tiga anaknya.

Berita berkaitan

Mufti doa Fadi dapat syahid

Ejen negara asing disyaki bunuh Fadi

‘Arwah biasa jadi imam’

Penembak tunggu 20 minit

Imam Palestin ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 7:42 PM