Mohamed Azmin berucap di Majlis Minum Pagi bersama Rakyat di Simpang Empat, Arau semalam. FOTO Azhar Ramli
Suzalina Halid

“Saya bagi tahu (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) bahawa saya tak nak jawatan lain tetapi hanya nak jawatan Menteri Dalam Negeri,” kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor itu mengakui mengimpikan jawatan terbabit sekiranya pakatan pembangkang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah beliau sendiri sudah memaklumkan hasratnya itu kepada Dr Mahathir dan Anwar.

“Saya bagi tahu Dr Mahathir dan Anwar bahawa saya tak nak jawatan lain tetapi hanya nak jawatan Menteri Dalam Negeri sebab saya nak jaga pintu KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) selepas 9 haribulan nanti, " katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Rakyat Pilih Biru Muda Parlimen Kuala Kedah, di Alor Setar.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menyifatkan PRU-14 kali ini adalah pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang yang dibentuk oleh DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) manakala parti lain hanya ingin kacau daun.

Katanya, ini kerana sesebuah kerajaan hanya boleh dibentuk melalui gabungan parti komponen dan bukannya daripada parti yang bergerak sendirian.

“Pertembungan kali ini adalah antara BN dan Pakatan Harapan (gabungan pembangkang) manakala logo lain hanyalah kacau daun sahaja, ini kerana mana boleh nak bentuk kerajaan secara berseorangan?

“Jadi kalau tak boleh, jadi tak payahlah tengok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 12:41 AM