KEADAAN di perkarangan bilik mayat Hospital Selayang, dipenuhi rakan Imam Palestin Dr Fadi M R Albatsh Fatma. FOTO NSTP
Teo Pei Ying dan Fazrik Kamarudin


MAJIKAN Imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UNIKL BMI) bersedia untuk menguruskan urusan pengebumian Fadi di Malaysia.

Dekan UNIKL BMI, Prof Madya Dr Mohd Izhar Abu Bakar berkata, walaupun keluarga Allahyarham Fadi memohon supaya jenazahnya dibawa pulang, pihaknya sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Kami diletakkan di dalam mod sedia, apa sahaja keputusan berkenaan lokasi pengebumian arwah Fadi, kami sedia untuk membantu.

"Mengikut perancangan asal, jika dikebumikan di Malaysia, jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves dijangka selepas solat Asar.

"Bagaimanapun, memandangkan ada permintaan daripada pihak keluarganya di Palestin untuk membawanya pulang, kami menangguhkan urusan pengebumian.

"Sekarang kami hanya menanti kehadiran abang Fadi yang akan tiba dari Jerman kira-kira 5 petang, berkemungkinan keputusan sama ada membawa pulang atau dikebumikan di sini akan diputuskan oleh abangnya," katanya ketika ditemui di Hospital Selayang, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Fadi, Izhar berkata dia seorang pensyarah yang disenangi warga UNIKL BMI.

Katanya, kontrak Fadi baharu sahaja diperbaharui selepas dia menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.

"Dia sudah bersama kami selama dua tahun, dalam tempoh berkenaan satu hubungan akrab terbina di antara Allahyarham dengan pensyarah, penuntut dan kakitangan lain.

"Dia amat berdedikasi dalam tugasnya mendidik penuntutnya, seorang yang pakar dalam bidang kejuruteraan elektrikal.

"Pemergiannya amat dirasai seluruh warga UNIKL BMI," katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Nak tatap wajah untuk kali terakhir

'Bunyi tembakan macam bunyi mercun'

‘Dr Fadi suka layan kerenah penuntut’

Dirancang Mossad, kata Jihad Islam Palestin

‘Mungkin kebijaksanaan Fadi jadi ancaman’

Mufti doa Fadi dapat syahid

Ejen negara asing disyaki bunuh Fadi

‘Arwah biasa jadi imam’

Penembak tunggu 20 minit

Imam Palestin ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 12:46 PM