X
DATUK Seri Najib Tun Razak ketika melawat Jabatan Radioterapi & Onkologi di bilik Rawatan Novalis Tx, turut kelihatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah IKN, Dr Asmayani Khalib (kanan). FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
DATUK Seri Najib Tun Razak ketika melawat Jabatan Radioterapi & Onkologi di bilik Rawatan Novalis Tx, turut kelihatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah IKN, Dr Asmayani Khalib (kanan). FOTO NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Azura Abbas; Mohd Husni Mohd Noor dan Irwan Shafrizan Ismail


KOMITMEN kerajaan dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat bukan omong kosong, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk tindakan sehingga membawa kepada pengiktirafan dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia terbukti apabila Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan selama tiga tahun berturut-turut oleh Laporan Journal Antarabangsa Pelancongan Kesihatan sejak 2015 hingga 2017.

Katanya, majalah International Living turut mengiktiraf Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Ia (pengiktirafan) dicapai kerana aku janji dibuat kerajaan selama ini berjaya dilaksanakan.

“Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita tetapkan penjagaan kesihatan dan gaya hidup antara satu daripada 14 teras keutamaan yang diperjuangkan kerajaan lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Najib berkata, menerusi aku janji itu, rakyat boleh mengharapkan bidang kesihatan akan terus diberi penambahbaikan ketara oleh kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM27 bilion dan RM26 bilion kepada Kementerian Kesihatan masing -masing pada Bajet 2018 dan 2017 yang lalu.

Menurutnya, peruntukan besar itu penting bagi mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi 400 penduduk menjelang 2030.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau turut menggalakkan rakyat supaya menjalani saringan awal kanser kerana dianggarkan 65 peratus kes kanser yang dirujuk sudah mencapai tahap kronik.

“Pada 2015, kanser adalah penyebab kematian keempat tertinggi di Malaysia,” katanya.

Katanya, kerajaan memberi jaminan akan meneruskan usaha untuk memajukan bidang penjagaan kesihatan negara termasuk memberi tumpuan kepada kesedaran gaya hidup sihat, pencegahan awal dan amalan pemakanan yang baik dalam kalangan rakyat.

Setakat ini, IKN mengendalikan 37,452 pesakit berbanding 505 pesakit ketika mula beroperasi pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 6:26 PM