KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai seni kraf dari Pengusaha Temuan Abo Kraf, Helmi Naim Ahmad, 23 (kiri) di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan
cnews@nstp.com.my


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan mendekati komuniti Orang Asli dengan lebih dekat dalam usaha menjadikan mereka usahawan digital menerusi program e-USAHAWAN.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, sebelum ini pihaknya lebih tertumpu kepada pendedahan maklumat secara umum terhadap golongan itu.

Katanya, dalam memastikan mereka lebih berjaya pihaknya akan mencari ikon dalam kalangan komuniti itu sebagai dorongan dan semangat untuk mereka menceburi bidang keusahawanan.

“Sebagai contoh, masyarakat Orang Asli berasa kekok untuk mengikuti program sebegini terutamanya apabila maklumat yang disampaikan itu bukannya terdiri daripada golongan mereka.

“Apabila kita dapat mendidik mereka yang berkebolehan secara langsung ia dapat menjadi ikon kepada komuniti terbabit yang akhirnya menyampaikan maklumat, teknik dan kaedah kepada komuniti mereka pula,” katanya kepada pemberita ketika lawatan di Temuan Abo Kraf, Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Rembau, hari ini.

Perusahaan itu diusahakan Helmi Naim Ahmad, 23 yang juga anak Orang Asli suku Temuan dari kampung berkenaan.

Yasmin berkata, ikon yang dipilih kemudian akan menubuhkan Pusat Komuniti Usahawan untuk membantu mereka daripada segi penghasilan produk, pemasaran digital dan sebagainya dengan dibantu MDEC.

“Ini secara langsung dapat meningkatkan ekonomi mereka yang bukan sahaja bergantung kepada kerja khusus seperti menoreh getah, memungut hasil tanaman dan lain-lain,” katanya.

Katanya, pendekatan sama juga akan digunakan terhadap kalangan bekas banduan bagi membolehkan mereka membina kehidupan lebih baik dengan menceburi perniagaan

Sementara itu, Helmi berkata, dia mula mengusahakan kraf tangan pada 2013 dengan menjual menerusi ekspo dan karnival yang dianjurkan kerajaan.

“Pada tahun lalu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menghantar saya ke program e-USAHAWAN di Melaka, dari situ saya mempelajari ilmu pemasaran digital untuk membuat iklan di laman sosial, menggunakan ayat yang memikat pembaca dan mengambil gambar yang menarik.

“Ternyata hasil ikutan daripada ilmu itu jualan saya meningkat empat kali ganda dan berjaya memasarkan produk kraf ini dengan lebih meluas,” katanya.

Katanya, dia kini membantu komunitinya dengan mendedahkan cara membuat kraf tangan di samping menjadikan kampungnya sebagai destinasi pelancongan dengan pelbagai pakej yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 11:46 PM