ANTARA PATI yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar ditahan pihak berkuasa ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini, dalam dua kes berasingan di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Mereka ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD).

Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kes pertama, seramai 17 PATI ditahan di kawasan kebun getah berdekatan Sektor Pos Satu, kira-kira jam 1.30 pagi.

Beliau berkata, warga asing itu ditahan oleh pasukan 2RRD yang diketuai oleh Sarjan Mohammad Zamrul Abdullah yang menjalankan rondaan dengan berjalan kaki di kawasan berkenaan.

“Ketika rondaan, pasukan itu terlihat sekumpulan orang berpakaian awam di dalam kebun getah dalam keadaan yang mencurigakan sebelum melakukan serbuan dan kepungan.

"Hasil pemeriksaan ke atas individu terbabit mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Pasukan itu kemudiannya merampas lima beg galas mengandungi pakaian, sebuah telefon bimbit, wang tunai Malaysia sebanyak RM50, Thailand 100 Baht serta wang tunai Myanmar sebanyak 2,000 Kyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan kejayaan itu, Abdul Aziz berkata, rondaan di kawasan itu diteruskan dengan diketuai oleh Staf Sarjan Micheal Empam selepas pihaknya mengesyaki masih terdapat PATI yang cuba meloloskan diri.

Katanya, rondaan itu ternyata tidak sia-sia apabila enam lagi PATI Myanmar ditahan ketika cuba memasuki negara ini, pada jam 10.30 pagi.

"Mereka dipercayai dari kumpulan sama tetapi berpecah dan menyusup masuk pada waktu berasingan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,

"Hasil pemeriksaan, pasukan itu turut merampas dua beg galas mengandungi pakaian dan alat solek serta wang tunai Myanmar berjumlah 1,600 Kyat," katanya

Beliau berkata, tangkapan itu menunjukkan Sektor Pos Satu menjadi laluan utama PATI untuk memasuki ke negara berbanding sektor pos lain.

Menurutnya, PATI berusia antara 16 hingga 40 tahun yang terdiri daripada 18 lelaki dan lima wanita itu dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 5 Rejimen Sempadan (5 RS) untuk pemeriksaan kesihatan.

“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 9:55 PM