GERAI pameran TNB dikunjungi calon yang ingin merebut peluang kerjaya pada Ekspo Pemuda 2018 di PWTC.
GERAI pameran TNB dikunjungi calon yang ingin merebut peluang kerjaya pada Ekspo Pemuda 2018 di PWTC.
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Impian mahu berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) suatu hari nanti, membuatkan Siti Norliza Osman, 27, tidak melepaskan peluang singgah di ruang pameran milik syarikat terbabit ketika Ekspo Pemuda 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Mengakui menanam impian itu sejak di bangku sekolah lagi, Norliza mahu mencuba nasib selepas menimba pengalaman bekerja di sebuah syarikat kontraktor di ibu kota.

“Saya minat bidang elektrik dan elektronik serta penata program. Jadi, TNB adalah lapangan sesuai kerana kepelbagaian bidang yang boleh diterokai.

“Selain itu, saya juga berupaya menambah kemahiran, mengubah gaya hidup dan memperbaiki banyak perkara termasuk nilai diri jika berjaya menjadi kakitangan TNB,” katanya yang ditemui di Ekspo Pemuda 2018.

Ekspo Pemuda 2018 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan.

Dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ekspo ini memfokuskan empat perkara iaitu pameran kerjaya, rumah mampu milik, latihan kemahiran dan dana keusahawanan. Turut hadir, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Turut disediakan, temu duga secara terus, klinik resume, cabutan bertuah, bengkel kerjaya, program keusahawanan dan demonstrasi produk.

Bagi pelajar lepasan institut pengajian tinggi (IPT) jurusan kejuruteraan mekanikal, Mugilan Sukumaran, 27, dia berharap menjadi warga TNB kerana syarikat itu menawarkan peluang pekerjaan bersesuaian dengan jurusan diambil.

Selain itu, dia berkata, TNB cukup sinonim dengan masyarakat dalam menyediakan kemudian sepanjang masa.

“Dengan tenaga mahir dimiliki TNB, saya yakin dapat mempelajari banyak ilmu mengenai bidang kejuruteraan mekanikal di sini.

“Saya juga percaya kehidupan saya berubah andai berjaya menjadi warga TNB dan berupaya membantu meringankan beban keluarga,” katanya.

PENGUNJUNG mengambil peluang memohon pekerjaan yang ditawarkan di gerai pameran TNB.
PENGUNJUNG mengambil peluang memohon pekerjaan yang ditawarkan di gerai pameran TNB.

Sementara itu, Mohd Hisham Azli, 25, berkata, Expo Pemuda 2018 adalah platform terbaik untuk mendapatkan pekerjaan khusus buat golongan muda terutama lepasan IPT.

“Penganjuran ekspo ini sangat bagus kerana pengunjung bukan saja berpeluang untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan yang ada tetapi secara tidak langsung dapat mengenali dan mengetahui serba sedikit mengenai syarikat itu sendiri.

“Menghadiri sesi temu duga terbuka di ruang pameran TNB ini misalnya, saya dapat mengetahui skop kerja yang bersesuaian dengan kelulusan yang saya ada selain jawatan lain ditawarkan,” katanya.

Sepanjang dua hari itu, TNB mengadakan temu duga terbuka khusus buat pelajar lepasan IPT dan pekerja berpengalaman untuk memenuhi jawatan seperti ahli teknologi digital, aktivis sosial, pakar ekonomi, penganalisis kewangan, aktivis gaya hidup digital dan pakar sains data.

Ruang pameran TNB menjadi antara kaunter yang menjadi tumpuan graduan dan mereka mereka yang berpengalaman untuk mengintai peluang pekerjaan.

Ternyata ramai menaruh harapan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar TNB dengan mengisi borang dan menjalani temu duga awal dengan harapan mendapat pertimbangan dipanggil semula bagi temu duga sebenar kelak.

Calon pekerja yang berbakat serta memenuhi kriteria TNB akan diminta hadir ke ibu pejabat untuk temu duga sekali lagi secara lebih formal dan spesifik kepada bidang kerjaya.

Prosedur terkini pengambilan pekerja baru di TNB juga diubah suai mengikut peredaran masa yang mana calon berpotensi tinggi tidak akan menunggu lama untuk merebut sesuatu peluang kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:14 AM