Mohamad Shaiful Bukhari Ammat , 25, (kiri) dan Ameer Hakimi Azman, 20 tahun. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


JENAZAH dua penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan di Pekanbaru, Riau, Indonesia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi esok.

Dalam kejadian 3.30 petang waktu tempatan itu, kedua-dua mangsa, Mohamad Shaiful Bukhari Ammat , 25, dan Ameer Hakimi Azman, 20 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, kedua-dua jenazah mangsa dibawa menaiki pesawat Lion Air pada 6.30 petang (waktu tempatan) dari Pekanbaru sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta untuk urusan dokumentasi.

“Pesawat itu dijangka tiba di Malaysia awal pagi (esok). Jenazah Shaiful akan dibawa pulang ke Sabah menggunakan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang Subang.

“Jenazah Ameer pula akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang menggunakan jalan darat oleh ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedua-dua mangsa adalah penuntut Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim Pekanbaru, Riau di Pulau Sumatera dalam jurusan Undang-undang Keluarga Islam dan Bimbingan Kaunseling Islam.

Berita berkaitan

Dua pelajar Malaysia maut di Pekanbaru

Dalam proses bawa jenazah pulang

'Allah SWT lebih sayangkan Shaiful'

'Anak 'pergi' pada hari lahir saya'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 7:26 PM