PENGURUS MESEJ Kinolosodon, Lawrrithanoe Jeckley (tengah) dan Pemaju Mukim Kimanis, Ambrose Lojumin (kanan) bersama sebahagian peserta projek MESEJ di Kampung Kinolosodo

Kota Kinabalu: Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang dilaksanakan menerusi inisiatif kerajaan Sabah hasil idea Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sehingga kini memberi manfaat kepada lebih 2,500 penduduk miskin di negeri ini.

Program itu yang dimulakan pada 2004 merangkumi pembinaan rumah yang dilengkapi kemudahan elektrik dan air untuk setiap peserta selain jalan raya berturap bagi memudahkan perhubungan.

Sehingga kini, 52 MESEJ dibuka di seluruh negeri dengan 16 adalah MESEJ tanaman getah, kelapa sawit (18) dan akuakultur (6) manakala selebihnya MESEJ Mikro Pertanian dan MESEJ Mikro Akuakultur (sembilan) serta MESEJ Bersepadu (tiga).

Bagi MESEJ akuakultur, aktiviti diusahakan ialah penanaman rumpai laut, penternakan ikan dalam sangkar, tiram dan balat (timun laut), selain ketam bakau dan udang galah manakala MESEJ Bersepadu menumpukan aktiviti penternakan burung walet dan itik penelur.

Program itu antara pendekatan diambil kerajaan Sabah untuk membantu golongan miskin tegar keluar daripada kemiskinan.

Sejajar usaha itu, kerajaan Sabah menetapkan objektif utama MESEJ iaitu untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar secara mapan dengan harapan mereka dapat menikmati peningkatan kualiti hidup.

Hasilnya, kadar kemiskinan Sabah berjaya diturunkan kepada 2.9 peratus pada 2016 berbanding 19.7 peratus pada 2009 selain dijangka dapat diturunkanlagi sehingga di bawah kadar satu peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Musa dalam ucapannya ketika merasmikan beberapa MESEJ di seluruh negeri sebelum ini sering menekankan bahawa semua projek MESEJ sangat memberi kesan ke arah peningkatan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Katanya, kerajaan Sabah mewujudkan MESEJ dengan niat suci untuk membantu rakyat miskin agar mereka dapat meningkatkan ekonomi dan menikmati keselesaan hidup dengan mendapat tanah, rumah, kemudahan jalan raya, air, elektrik dan lain-lain kemudahan.

Pada masa sama, MESEJ dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi melaksanakan transformasi masyarakat luar bandar selain dijadikan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 9:01 AM