Helmy Abd Rahman


KEWUJUDAN 21 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara adalah inisiatif paling penting berbanding yang lain, malah keberkesanannya jauh mengatasi perkhidmatan disediakan di mana-mana negara maju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sejak diwujudkan pada 2012 sehingga 2016, UTC sudah memberi perkhidmatan kepada 61 juta pelanggan.

Beliau berkata, perkhidmatan ditawarkan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Bank Dunia, badan Komanwel dan di peringkat ASEAN memberikan markah amat tinggi selepas melakukan tinjauan di UTC.

“Perkhidmatan UTC mungkin yang paling atas berbanding segala inisiatif lain kerana tak ada negara lain termasuk negara maju yang mampu melakukan seperti kita.

“Mereka begitu terpegun dan ingin tanya apa rahsia Malaysia boleh melakukan perkhidmatan sebegini, mahu buat pasport termasuk untuk kali pertama hanya mengambil masa satu jam berbanding negara lain termasuk negara maju yang mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sebelum melancarkan UTC Terengganu di Paya Bunga Square di sini, hari ini.


DATUK Seri Najib Razak bermesra dengan Aidan Waiz Mohd Nasir berusia dua bulan dipangku ibunya selepas menyerahkan mykid pada Majlis Perasmian UTC di Paya Bunga Square. FOTO NSTP/ROZAINAH ZAKARIA

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan barisan calon Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, UTC terbukti mampu menjadikan kehidupan rakyat lebih baik.

“Ada satu cerita benar mengenai satu keluarga yang nyaris terlepas percutian ke luar negara apabila si anak menyedari pasport ibunya akan luput tarikh dalam masa seminggu sedangkan mereka sudah berada di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Si anak kemudian teringat UTC ada di Puduraya dan terus berkejar ke sana membuat pasport untuk ibunya sebelum berkejar semula ke KLIA.

“Sangat menakjubkan, mereka sempat pergi bercuti. Itu antara cerita kejayaan yang dibawa UTC yang memudahkan hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapannya berkata, sejak diwujudkan pada 2016, UTC Terengganu sudah memberi perkhidmatan kepada kira-kira sejuta pelanggan.


BANGUNAN UTC Terengganu. FOTO ARKIBNSTP/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:01 PM