ABANG Ahmad (tengah), Timbalan Pengerusi Kanun Parti Amanah Negara, Wan Anwar Wan Ibrahim (kiri) dan Ketua Penerangan Wanita Parti Harapan, Aiman Athrah (kanan) akan menjawab soalan media pada Sidang Media Khas Parti AMANAH berkaitan isu dakwaan 3 lelaki terhadap kepemimpinan tertinggi Amanah di Wisma Amanah Negara. -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
ABANG Ahmad (tengah), Timbalan Pengerusi Kanun Parti Amanah Negara, Wan Anwar Wan Ibrahim (kiri) dan Ketua Penerangan Wanita Parti Harapan, Aiman Athrah (kanan) akan menjawab soalan media pada Sidang Media Khas Parti AMANAH berkaitan isu dakwaan 3 lelaki terhadap kepemimpinan tertinggi Amanah di Wisma Amanah Negara. -Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Mohd Azrone Sarabatin dan Arfa Yunus


PRESIDEN Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga lelaki yang menuduhnya melakukan hubungan luar nikah dengan seorang wanita.

Bagaimanapun, tarikh dan masa untuk beliau yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Kota Raja memfailkan kes berkenaan di mahkamah menimbulkan tanda tanya kerana belum membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung PAN, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, beliau dimaklumkan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu terbabit.

Beliau berkata, PAN juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan kerana menyamar sebagai ahli parti.

Katanya, pihaknya juga sudah membuat semakan pada pangkalan data keahlian parti terkini dan mendapati tiada nama individu terbabit.

“Kami mengambil maklum sidang media semalam oleh tiga individu diketuai Rizal Bakar yang mendakwa sebagai ahli PAN Kawasan Kuala Kedah.

“Kami juga menyemak dengan PAN Kuala Kedah dan tiada seorang pun mengenali individu terbabit.

“Kami percaya beliau mempunyai niat dan agenda jahat terhadap kepemimpinan serta parti dan gabungan pembangkang menggunakan lambang PKR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAN, di Taman Wahyu, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, tiga individu mendakwa ahli PAN dari Kedah menuduh Mat Sabu terbabit hubungan luar nikah dan memberi tempoh 36 jam kepada ahli politik veteran itu menjelaskan kandungan satu perbualan kurang sopan dan dua rakaman audio.

Rizal dilaporkan berkata, beliau menerima rakaman audio dan perbualan WhatsApp itu kira-kira seminggu lalu yang ditinggalkan di cermin depan keretanya.

Bagaimanapun, malam tadi, Mohamad mendakwa tohmahan dan fitnah terhadapnya berlaku setiap kali pilihan raya umum.

Sementara itu, Abang Ahmad Kerdee berkata, taktik serangan moral peribadi yang dibuat mereka pada sidang media itu adalah tindakan politik jahat yang lazim dibuat ke atas pimpinan pembangkang setiap kali pilihan raya umum.

“Sebelum ini beberapa ahli politik pembangkang juga menjadi mangsa politik kotor seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:50 PM