GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil\

SEORANG penganggur dihukum penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga India, bulan lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu terhadap R Maran, 39, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkap iaitu 29 April lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pembuat cermin, Harjinder Singh, 28, dengan melarikan sebuah dompet, seunit telefon bimbit jenama Nokia dan wang tunai RM300 membabitkan kerugian RM450.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan hadapan Pasar Raya Mydin Kota Raya, pada jam 5.20 petang, 29 April lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Maran merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya atas alasan alasan tiada sesiapa yang menjaga ibunya. Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 3:40 PM