Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Terdapat lebih 80 kafe sekitar bandar raya ini menerapkan konsep hipster yang melonjakkan nama Ipoh sebagai ‘pekan hipster’ sekali gus melenyapkan julukan ‘pekan hantu’ yang pernah dilabelkan terhadap ibu negeri Perak sebelum ini.

Ia secara tidak langsung membolehkan bandar raya ini sebaris dengan ‘bandar raya hipster’ popular di Asia seperti Hokkaido, Jepun, Shanghai, China dan Jeonju, Korea Selatan.

Antara kafe yang popular di Ipoh ialah Plan B, Konda Kondi Cafe & Bistro, Chokodok Reggae House Cafe & Backpackers, Karat Cafe, Burps & Giggles, Cakchibow, Thumbs Cafe, STG Tea House Cafe, Foods Project Cafe, Koppe Me, Mat Periuk, Chor’s Cafe dan Ooi & The Comrades, Missing Marbles, Happy 8 Retreat Café dan Patisserie BoutiQue.

Plan B

Selain itu, beberapa kedai gunting rambut berkonsepkan budaya itu turut mendapat tempat di hati pengunjung terutama Eroll Barbershop di Jalan Raja Musa Aziz dan Ipoh Barber & Comber di Riverwalk.

Pemilik kafe Cakchibow, Adriz Abd Halim, 30, berkata, konsep hipster yang berkembang di negeri itu menjadi ‘tiket’ kepada usahawan muda untuk meningkatkan taraf hidup.

“Ia menjadi kelebihan kepada kami yang mahu berjinak dalam perniagaan kerana konsep hipster mengetengahkan sesuatu yang berbeza tetapi tidak memerlukan kos tinggi,” katanya sambil menjelaskan usaha dan bantuan disalurkan kerajaan negeri memberi ruang kepada anak muda untuk menjalankan perniagaan.

Chokodok Reggae House Cafe & Backpackers antara kafe hipster yang terdapat di Ipoh.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi sokongan dan kelonggaran kepada anak muda yang mahu membuka kafe berkonsepkan hipster kerana mempercayai idea dan produk itu mampu memikat pelancong.

Tukang masak atau cef di kafe sama, Muhammad Adam Shahrulniza, 22, pula berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Zambry yang banyak memberi sokongan dan dorongan terhadap anak muda mengembangkan kreativiti di bandar raya itu.

Sementara itu, pelancong Switzerland, Alena Leuch, 19, berkata, dia bersama rakan yang datang bercuti selama dua hari di bandar raya ini mengakui Ipoh sebagai pekan yang tenang dan unik untuk dikunjungi.

“Saya dan rakan berjalan dan meronda di sekitar bandar ini dan kami tidak menyangka dapat menemui sebuah kafe hipster yang unik dan menarik seperti Chokodok Reggae House Cafe & Backpackers dan memasukkan nama kafe ini di dalam aplikasi Trip Advisor untuk mengesyorkan ia sebagai lokasi pilihan,” katanya yang ditemui di kafe berkenaan di sini.

KAFE Cakchibow

Pengunjung dari Kuala Kangsar, Nur Shahirah Hashim, 24, pula berkata, sebelum ini dia dan keluarga pergi ke Pulau Pinang atau Kuala Lumpur semata-mata untuk mencari kelainan menikmati makanan dan tempat menarik, kini beralih ke Ipoh yang lebih dekat dan banyak pilihan kafe hipster.

Pengunjung dari Parit Buntar, Ammar Md Zaini, 23, berkata, kebangkitan budaya hipster di bandar berkenaan meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pelancongan terutama di Ipoh yang sebelum ini dikenalinya sebagai ‘bandar mati’.

KAFE Patisserie Boutique

Ipoh jadi contoh budaya hipster di luar negara

Fenomena budaya hipster luar biasa di bandar raya ini bukan saja berkembang di serata negeri tetapi turut menjadi contoh di medium antarabangsa.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Negeri Perak, Zamari Muhyi berkata, hasil daripada pembangunan budaya hipster yang semakin popular di bandar raya itu menjadi trend atau ikutan pula di beberapa negara.

“Selain di negara ini, kita dapat melihat budaya hipster sudah mula menular di kafe di luar negara seperti Thailand dan Indonesia.

“Mereka memang sudah mempunyai kafe hipster, tetapi selepas melihat budaya itu yang semakin berkembang maju di sini, mereka menjadikan Ipoh sebagai contoh dan mengikut jejak langkah sama dalam mengetengahkan konsep itu,” katanya.

Zamari yang juga Setiausaha Persatuan Hotel Bajet Cawangan Perak berkata, perkembangan budaya itu sekali gus meningkatkan pertumbuhan hotel bajet terutama di kawasan pekan lama di bandar Ipoh.

Katanya, sehingga kini terdapat 170 hotel bajet di Perak dan ia semakin bertambah selepas budaya hipster berkembang maju dan dikenali di negeri ini khususnya di bandar Ipoh.

Beliau berkata, fenomena itu turut menggalakkan anak muda terbabit secara langsung dalam produk sub sektor ekopelancongan atau produk pelancongan lain.

“Bermula dengan membuka kafe dan kedai gunting rambut berkonsepkan hipster, ia membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk menceburi bidang sub sektor ekopelancongan seperti menjadi pengusaha aktiviti white water rafting, tubing, perkhemahan dan kegiatan menunggang kenderaan pelbagai permukaan all terrain vehicle (ATV),” katanya.

ZAMARI Muhyi

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Perak, Maggie Ong berkata, perkembangan budaya hipster di Ipoh secara tidak langsung meningkatkan kehadiran pengunjung ke bandar raya itu.

“Sejak tahun lalu, jumlah pengunjung yang menginap di pelbagai jenis hotel termasuk hotel bajet dan rumah inap meningkat.

“Pengunjung dilihat gemar memilih tempat penginapan berkonsepkan ‘hotel butik’ kerana pengunjung yang meminati konsep hipster menyukai penginapan yang menerapkan ciri serta reka bentuk unik dan berbeza,” katanya.

Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA), Datuk Mohd Odzman Abd Kadir pula berkata, konsep hipster menukar imej Ipoh sebagai sebuah bandar raya yang ‘bergerak’ untuk dikunjungi oleh pelancong terutama dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 11:34 AM