HARUSSANI menegaskan umat Islam diminta memilih pemimpin berwibawa bagi melaksanakan tugas sebagai pemegang amanah dalam mentadbir negara. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


UMAT Islam di negara ini diminta untuk memilih pemimpin berwibawa bagi melaksanakan tugas sebagai pemegang amanah rakyat dalam mentadbir negara selain dapat mengotakan janji termaktub dalam manifesto.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pemimpin berwibawa yang dimaksudkan adalah pemimpin membantu memenangkan agama Islam serta menegakkan keadilan hukum Allah SWT.

Katanya, pemimpin dipilih itu mestilah dapat menjalankan tugas mendaulatkan Islam, mempertahankan maruah umat Islam, meninggikan syiar Islam, menjaga agama, berusaha melaksanakan kesyumulan syariat Allah SWT serta melaksanakan dakwah dan jihad.

“Pemimpin berwibawa ialah pemimpin yang mengangkat Islam sebagai agenda utama, berintegriti, cekap, mahir mengurus, bebas daripada pengaruh asing dan berusaha bersungguh-sungguh memastikan tanah air ini menjadikan Islam sebagai rujukan utama.

“Yang pasti, pemimpin berwibawa adalah pemimpin takutkan Allah SWT, menganggap kemenangan dalam pilihan raya sebagai satu amanah berat dan akan berusaha sebaik mungkin bagi mengotakan janji terutama termaktub dalam manifesto,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Ipoh hari ini.

Harussani turut mengingatkan umat Islam supaya melaksanakan tanggungjawab mengundi kerana ia adalah suatu tuntutan dalam Islam yang pastinya akan disoal Allah SWT di akhirat kelak.

Katanya, mengundi bukan sekadar aktiviti memenuhi tuntutan demokrasi yang dilakukan sekali dalam lima tahun, namun ia adalah kesaksian yang penuh dengan beban tanggungjawab di dunia dan akhirat.

Menurutnya, umat Islam diingatkan supaya tidak bertindak untuk tidak mengundi atau berniat merosakkan undi kerana ia adalah tindakan salah serta tidak membawa sebarang keuntungan kepada umat Islam, malah mensia-siakan hak diberikan.

“Ia sangat penting kerana dasar negara menjadi amalan masyarakat banyak ditentukan oleh wakil yang dihantar ke parlimen dan begitu juga kedudukan Islam, sejauh mana Islam diperkasakan di negara ini banyak ditentukan oleh mereka.

“Kesaksian kita tidak boleh disembunyikan dengan tidak mengundi mahupun mengundi rosak, justeru warganegara yang layak, wajib mengundi atas dasar memberikan kesaksian,” katanya.

Harussani berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) adalah medium bagi rakyat memilih sendiri pemimpin dikehendaki dan mereka perlu membabitkan diri dengan proses itu dengan memilih pemimpin yang dapat memimpin dalam tempoh lima tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 5:06 PM