ANAK bekas Menteri Besar Kedah,Tan Sri Azizan Abdul Razak, Ahmad Faiq (tiga dari kanan) mengumumkan sokongan dan menyertai parti Barisan Nasional (BN), UMNO pada Perhimpunan Gelombang Biru Gegarkan Parlimen Jerai di Command Centre BN Jerai. FOTO Nur Syazwana Mansor
ANAK bekas Menteri Besar Kedah,Tan Sri Azizan Abdul Razak, Ahmad Faiq (tiga dari kanan) mengumumkan sokongan dan menyertai parti Barisan Nasional (BN), UMNO pada Perhimpunan Gelombang Biru Gegarkan Parlimen Jerai di Command Centre BN Jerai. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor


“IBU tak halang saya sertai mana-mana parti, kecuali Parti Amanah Negara (PAN),” kata Ahmad Faiq Azizan, 31.

Beliau yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak memaklumkan demikian apabila ditanya mengenai tindakan beliau yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Ahmad Faiq, seorang peguam dilihat menghadiri Perhimpunan Gelombang Biru Gegarkan Parlimen Jerai di Pusat Operasi BN Jerai, Gurun, hari ini dengan ditemani dua rakan yang juga peguam.

Ditanya mengenai pesanan ibunya, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah, Ahmad Faiq yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik berkata, ibunya merestui tindakannya untuk menyertai mana-mana parti termasuk BN.

Namun, katanya, PAN yang juga parti serpihan PAS terkeluar daripada senarai itu kerana ibunya memaklumkan parti itu banyak mengutuk arwah bapanya yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Azizan.

“Walaupun status saya sebagai anak kepada bekas Menteri Besar yang menerajui kerajaan PAS Kedah sebelum ini, ia bukan halangan untuk saya menyertai mana-mana parti yang dinilai lebih baik.

“Saya pernah menjadi ahli PAS sejak berusia 18 tahun dan kini cukup matang untuk menilai dan memilih parti yang benar-benar mampu untuk membela nasib rakyat.

“Ini negara demokrasi dan saya ada otak serta akal untuk menilai perkara baik dan buruk, terutamanya dalam keadaan status saya sebagai peguam,” katanya.

Allahyarham Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum ini sinonim dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau menerajui Kedah sebagai Menteri Besar selepas PAS menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008, sebelum negeri itu diambil alih semula BN pada 2013.

Ahmad Faiq berkata, selain majlis anjuran BN hari ini, dia juga menyertai aktiviti beberapa parti lain sebelum ini, namun hanya BN sahaja yang dilihat lebih realistik dalam membantu rakyat.

Sementara itu, lebih 5,000 ahli BN mewakili tiga sayap pergerakan parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri pada himpunan terbabit.

Turut hadir, calon BN bagi Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharon serta calon kerusi DUN iaitu Datuk Boey Chin Gan (Gurun), Datuk Norma Awang (Sungai Limau) dan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 7:38 PM