Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI bagaikan dirasuk hantu apabila mengugut mahu membunuh ibunya kerana mengesyaki wanita terbabit menyembunyikan dadah miliknya dalam kejadian di Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 5 petang itu, suspek berusia 30-an yang bersenjatakan parang turut merosakkan peralatan elektrik, perabot, pintu, dinding dan tingkap.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek dikatakan mengamuk dan mengugut mahu membunuh mangsa kerana mengesyaki wanita terbabit menyembunyikan dadah miliknya.

Beliau berkata, mangsa menafikan tuduhan itu dengan memaklumkan dia tidak mengetahui apa yang dimaksudkan anaknya.

“Tindakan itu menyebabkan suspek naik hantu lalu merosakkan pelbagai barangan di rumah mereka bertujuan melepaskan kemarahan.

“Melihat suspek semakin menjadi-jadi selain keadaan anaknya bersenjata, mangsa bersama ahli keluarga lain mengambil keputusan keluar dari rumah dan menumpang di rumah saudara berhampiran kerana bimbang keadaan lebih buruk,” katanya.

Idris berkata, susulan kejadian itu, abang suspek berusia 46 tahun membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada 10 malam hari sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 4:03 PM