SEORANG guru tadika maut selepas motosikal yang di tunggangnya terbabas di Jalan Padang Serai-Lunas berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Permatang Tok Dik. -Foto IHSAN PEMBACA
Azahar Hashim

GURU tadika maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Lunas-Padang Serai berhampiran sebuah stesen minyak di Permatang Tok Dik, Kulim, semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 petang itu, mangsa, Rabiatul Adawiyah Akalali, 21, yang beralamat di Kampung Naga Lilit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa dalam perjalanan dari arah Padang Serai menghala ke arah Lunas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum tercampak ke atas jalan raya.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi ambulans untuk bantuan kecemasan,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Nasir berkata, jenazah mangsa di hantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:54 PM