MOHD Saifuddin patah bahu gagal elak babi melintas.
HM Digital

Gua Musang: Seorang anggota Sukarelawan Polis (PVR) patah bahu kanan selepas motosikal ditunggangnya melanggar babi di Jalan Kampung Jeram Tekoh di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam, Mohd Saifuddin Abdullah, 31, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang terbabit dalam kemalangan selepas selesai tugas rondaan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, anggotanya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor babi tiba-tiba melintas jalan dan mangsa tidak sempat mengelak lalu motosikalnya melanggar binatang berkenaan.

“Akibatnya, mangsa tercampak ke tepi kanan jalan dan patah bahu kanan.

“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu mangsa sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau menasihatkan pemandu kereta atau penunggang motosikal supaya berhati-hati memandangkan di lokasi kejadian banyak binatang liar melintas pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 2:53 AM