Muhammad Yusri Muzamir


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow dinamakan sebagai pengganti Lim Guan Eng bagi jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini.

Mengulas pengumuman itu, Kon Yeow berkata, pihaknya berterima kasih kepada kepemimpinan Guan Eng yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan pengundi Pulau Pinang kerana terus memberi kepercayaan kepada PH untuk terus mentadbir kerajaan negeri.

"Saya berharap janji Menteri Kewangan (Guan Eng) bahawa Pulau Pinang sentiasa dekat dengannya akan sentiasa direalisasikan, selain berharap dapat menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kewangan.

"Kita juga berharap akan dapat lebih banyak peruntukan untuk menjayakan banyak projek yang sudah dirancang, termasuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang.

"Calon bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri dan barisan EXCO kerajaan negeri hanya akan didedahkan kemudian, selain keseluruhan mereka dijangka akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, Rabu ini," katanya.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berjaya mengekalkan kemenangannya di DUN Padang Kota bagi tiga penggal berturut-turut, selain turut menewaskan calon BN, H'ng Khoon Leng dengan majoriti 7,808 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.


MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) mengumumkan Chow Kon Yeow (dua dari kanan) sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang baharu semasa sidang media di pejabat Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Ditanya sama ada pentadbirannya bersedia membatalkan cadangan tambakan laut bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, pihaknya sedang meneliti setiap alternatif yang boleh dilakukan.

"Kita akan meneliti peruntukan yang akan diberikan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan PIP kerana pentadbirannya sudah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos projek ini.

"Bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk saya memberi sebarang kata putus mengenainya, selain perbincangan menyeluruh perlu dijalankan dengan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu," katanya yang juga penyandang EXCO Kerajaan Negeri, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri.

Terdahulu, Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan menjadi Ketua Menteri bagi penggal ketiga selain berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama kepadanya sepanjang menjawat jawatan berkenaan sejak tahun 2008.

"Saya juga ingin mohon maaf sekiranya ada melakukan kesilapan sepanjang mentadbir Pulau Pinang selama dua penggal lalu.

"Saya keberatan untuk meninggalkan Pulau Pinang tetapi ada tugasan lebih besar yang perlu dilaksanakan. Saya percaya kepemimpinan baharu akan menjalankan tugas dengan lebih baik dan cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:22 PM