KEADAAN kemalangan jalan raya membabitkan sembilan kenderaan di Jalan Pintasan Muar berhampiran Jalan Salleh, Kampung Temiang, Muar. FOTO Ihsan Bomba
Badrul Kamal Zakaria


SEORANG maut manakala seorang lagi parah apabila terbabit dalam kemalangan membabitkan 10 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pintasan Muar, Jalan Salleh berhampiran Kampung Temiang, Muar, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai How Seow San, 53, yang juga pemandu van disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Mohd Shahidan Hamir Han, 29, yang memandu lori masih menerima rawatan di hospital sama akibat parah di kedua kakinya, manakala pemandu bas dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

Difahamkan, 11 lagi mangsa dari kenderaan lain yang turut terbabit dalam nahas terbabit dilaporkan hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kemalangan yang membabitkan sebuah bas, enam kereta, dua lori dan sebuah van itu dipercayai berlaku akibat kegagalan pemandu bas yang tidak memberhentikan kenderaannya semasa lampu isyarat merah di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati sebuah bas yang tidak membawa penumpang dari arah Bandar Muar menuju ke Bukit Pasir tidak berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah dan bas terbabit merempuh sebuah van yang sedang bergerak dari arah Melaka menuju ke Bakri.

"Akibatnya, bas terbabit hilang kawalan dan terbabas ke arah bertentangan sebelum merempuh lapan lagi kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat hijau di persimpangan berkenaan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Zaharudin berkata, siasatan awal juga mendapati lokasi kemalangan adalah jalan persimpangan lampu isyarat dan ketika kejadian lampu isyarat berkenaan berfungsi dengan baik dan keadaan trafik pada masa kejadian tidak sibuk.

Katanya, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan meminta saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan lanjut dengan membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 6:29 PM