POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian, April lalu. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

DUA lelaki kelihatan seperti orang ‘Timur Tengah’ yang disyaki membunuh pensyarah warga Palestin, Dr Mohamed Fadi Al-Batsh di Setapak bulan lalu, mungkin menggunakan pistol atau submesingan (SMG) dalam melaksanakan misi kejam mereka itu.

Satu sumber keselamatan memberitahu Bernama bahawa pasukan penyiasat juga tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan sepucuk ‘Uzi’, iaitu submesingan jenis kompak dan mudah disembunyikan, yang sering digunakan anggota pasukan khas.

"Ia boleh jadi pistol atau submesingan. Ya, mungkin juga mereka menggunakan sepucuk 'Uzi' (untuk membunuh Al-Batsh)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, maklumat itu belum muktamad kerana siasatan masih dijalankan dan perlu menunggu laporan balistik bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang jenis senjata yang digunakan suspek.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini berkata pihaknya sedang menunggu laporan balistik tentang jenis senjata yang digunakan pembunuh.

Kemungkinan lelaki berkenaan menggunakan Uzi SMG bagi membunuh Al-Batsh akan menguatkan lagi dakwaan pihak tertentu, termasuk anggota keluarga mangsa, bahawa agensi perisik Israel, Mossad, bertanggungjawab tentang pembunuhan itu.

Uzi SMG dikeluarkan Israel Weapon Industries (IWI) dan digunakan dengan meluas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kebanyakan konflik di wilayah itu. Berikutan peningkatan permintaan terhadap Uzi oleh negara dari seluruh dunia, senjata jenis itu turut dikeluarkan syarikat lain di luar Israel.

Seberat lebih kurang 3kg serta mudah digunakan, Uzi asal menggunakan peluru 9mm kaliber, sama seperti keberkesanan pistol, tetapi memiliki kadar tembakan yang amat tinggi dan mampu mencapai keupayaan menembak hingga 1,000 das seminit, bergantung pada variannya.

Selain submesingan Uzi jenis asal, yang direka bentuk Uziel Gal pada 1940-an, pengeluar senjata itu juga menghasilkan senjata popular pelbagai jenis yang lebih kecil saiznya berbanding Uzi asal, yang dikenali sebagai Mini Uzi, Micro Uzi dan pistol Uzi Pro.

Oleh kerana ia tidak begitu berat, berbentuk kompak dan memiliki kadar daya tembakan tinggi, banyak anggota pasukan khas serta skuad pembunuh menggunakan Uzi atau variannya yang lebih kecil, terutama untuk berdepan dengan musuh dalam pertempuran jarak dekat (CQB) atau operasi sulit.

Walaupun Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman menafikan penglibatan Tel Aviv dengan pembunuhan itu, tetapi ia tidak pula menafikan pembabitan Mossad, yang dituduh membunuh tokoh Hamas dan Palestin sebelum ini.

Sementara itu, wartawan serta akhbar Israel mendakwa pembunuhan Al-Batsh mempunyai ciri-ciri misi pembunuhan Mossad.

Polis Malaysia juga enggan menuding jari kepada Mossad dalam pembunuhan itu kerana siasatan masih dijalankan, tetapi meluaskan siasatan mereka dengan menghantar sebuah pasukan khas ke Bangkok serta memohon kerjasama rakan sejawatan mereka di Singapura dan Filipina.

Satu sumber keselamatan memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa dua lelaki berkenaan menggunakan pasport palsu Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia, yang kemudian disahkan KPN. Penggunaan dokumen palsu merupakan taktik yang sering menjadi pilihan ejen perisikan untuk masuk dan keluar dari sesebuah negara.

Sumber itu juga mendedahkan bahawa seorang daripada suspek menggunakan pasport Serbia dan Montenegro seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.

Selepas membunuh Al-Batsh, dua lelaki berkenaan, yang disifatkan sebagai ‘amat profesional’ dan mempunyai kaitan dengan ‘konflik Arab-Israel’, melarikan diri ke Thailand melalui laluan haram di sepanjang sempadan.

Al-Batsh dibunuh ketika berjalan ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat subuh oleh dua lelaki menggunakan sebuah motosikal berkuasa tinggi, yeng melepaskan kira-kira 10 das tembakan terhadap warga Palestin itu.

Bapa kepada tiga anak itu tinggal di Malaysia sejak kira-kira 10 tahun lepas dan bertugas di sebuah universiti tempatan. Jenazah beliau dihantar pulang ke Semenanjung Gaza dan dikebumikan sebagai pejuang yang gugur syahid.

Berita berkaitan

PDRM hantar pasukan ke Bangkok

Mungkin dah larikan diri

Suspek kes tembak berpindah-randah - KPN

Penembak Dr Fadi sewa homestay?

[UPDATE] Jenazah Fadi selamat dikebumi [METROTV]

Jenazah Fadi selamat tiba di Gaza

Pembunuh Dr Fadi ‘cabut’ pakai Proton Saga...

Wajah pelepas rindu anak Dr Fadi

'Tugasan' dirancang tiga bulan...?

Laungan takbir, syahadah iringi jenazah Fadi

Ya Allah, tempatkan dia bersama para syuhada...

[UPDATE] Pulang ke Palestin malam ini

Polis dedah gambar suspek bunuh Fadi [METROTV]

[UPDATE] Alhamdulillah Mesir dah beri kelulusan]

"Suami kata, kamu sudah bersabar tunggu saya...']

Motosikal suspek tembak Dr Fadi ditemui...? [METROTV]

Jenazah Fadi masih di hospital [METROTV]

6 laluan potensi suspek bunuh Fadi

Israel nak halang jenazah Fadi masuk Gaza

Tunggu kelulusan Mesir

Ini lakaran wajah suspek bunuh Fadi

Jenazah Fadi dijangka dibawa pulang esok

Wajahnya tenang dan berseri... [METROTV]

[UPDATE] Jenazah Fadi akan dibawa ke Palestin

'Fadi bukan pakar pembuat roket dan dron'

'Lelaki itu bukan suspek kes Fadi'

UNIKL BMI sedia urus pengebumian Fadi

[UPDATE] Nak tatap wajah untuk kali terakhir

'Bunyi tembakan macam bunyi mercun'

'Dr Fadi suka layan kerenah penuntut'

Dirancang Mossad, kata Jihad Islam Palestin

'Mungkin kebijaksanaan Fadi jadi ancaman'

Mufti doa Fadi dapat syahid

[UPDATE] Ejen negara asing disyaki bunuh Fadi

'Arwah biasa jadi imam'

[UPDATE] Penembak tunggu 20 minit [METROTV]

Imam Palestin ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 7:51 PM