YUSUF menunjukkan gerainya yang musnah dalam kebakaran di Jalan Sena, Klang.
Ayusliza Azizan

Klang: Seorang peniaga mualaf hilang punca pendapatan apabila gerai miliknya antara 16 premis yang musnah terbakar di Jalan Sena, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi itu, deretan gerai makanan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkenaan rentung, manakala enam lagi premis terselamat selepas api berjaya dipadamkan bomba.

Mangsa, Yusof Abdullah, 47, berkata, dia menjalankan perniagaan menjual mi kari di gerai yang disewanya itu sejak tiga tahun lalu.

“Ketika kejadian, saya sedang tidur di rumah dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kebakaran itu lalu bergegas ke lokasi berkenaan.

“Setibanya di situ, luluh hati ini apabila melihat gerai saya sudah musnah sepenuhnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Yusof yang tinggal bersendirian berkata, dia kini buntu kerana tidak mempunyai pekerjaan lain.

“Semua barangan memasak dan menyediakan mi kari musnah dalam kebakaran ini.

“Saya kini cuba menyelamatkan sisa kebakaran yang mungkin masih boleh digunakan,” katanya yang kerugian lebih RM10,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Athan berkata, seramai 14 pegawai dan anggota termasuk dari BBP Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memadamkan kebakaran itu daripada merebak ke keseluruhan 22 premis itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 11:13 AM