DZULKIFLI Ahmad. FOTO arkib NSTP
Mohd Anwar Patho Rohman


TAN Sri Dzulkifli Ahmad akan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara (AGC) esok selepas menyerahkan surat penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

“Saya dengan penuh rasa rendah diri ingin memaklumkan bahawa saya sudah menyerahkan surat penamatan kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, hari ini.

“Penamatan kontrak itu berkuat kuasa mulai hari ini dan saya akan melaporkan diri kembali ke Pejabat Peguam Negara esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulkifli, 50, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hari ini, NSTP melaporkan Abu Kassim antara nama yang disebut untuk kembali menerajui suruhanjaya itu di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Dzulkfili mengambil kesempatan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga SPRM yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatannya mulai 1 Ogos 2016.

“Saya berharap seluruh warga SPRM akan terus memikul amanah dan tanggungjawab dalam usaha memerangi jenayah rasuah serta salah guna kuasa di negara ini bersama kepemimpinan baharu.

“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 9:00 PM