GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


POLIS menahan dua suspek termasuk menantu kepada wanita warga emas yang dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Taman Seri Duyong, di Melaka, 6 Mei lalu.

Suspek wanita berusia 26 tahun dan lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sun Teoh Tia berkata, wanita terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 5 petang, pada hari kejadian.

“Suspek kedua yang juga rakannya ditahan di Johor Bahru, kira-kira jam 4 pagi, Ahad lalu.

“Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis akan melakukan dua lagi tangkapan dalam tempoh terdekat selepas mengenal pasti identiti dua individu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Wanita Bersama Mencegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang di Melaka, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris.

Sun berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai samun.

“Kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mangsa, C Shellie, 67, ditemui mati dalam keadaan tertiarap di katil dengan mulut berdarah dipercayai dicederakan penjenayah dalam kejadian samun di rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 6:01 PM