Khairul Azran Hussin dan Norrasyidah Arshad dan Tharanya Arumugam


PENGGUGURAN beberapa muka lama dalam barisan 10 EXCO Kerajaan Selangor adalah perkara biasa dalam proses pembentukan pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak timbul isu pengguguran semua EXCO itu disebabkan mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik, sebaliknya bertujuan memantapkan pentadbiran dengan menggabungkan muka lama dan baharu.

"EXCO lama tidak dilantik (semula) kerana ia proses biasa apabila rombakan berlaku. Dalam pembentukan pentadbiran kerajaan negeri pada kali ini, 70 peratus adalah muka baharu.

"Bukan bermaksud EXCO yang digugurkan tidak bagus, mereka bagus sepanjang memegang jawatan EXCO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Menteri Besar Selangor selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi di sini, hari ini.

Pembentukan pentadbiran menyaksikan pengguguran Elizabeth Wong dan Dr Daroyah Alwi dari PKR serta Ean Yong Hian Wah dari DAP.

Seorang lagi bekas EXCO dari PKR, Nik Nazmi kini menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa selepas tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Seri Setia pada PRU-14.

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Roslin Mat Tahir
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Roslin Mat Tahir

Tiga lagi EXCO dari PAS, Datuk Iskandar Abd Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib tidak terpilih berikutan parti itu bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, ditanya dakwaan bahawa Istana Selangor tidak bersetuju senarai awal barisan EXCO, antaranya kerana tidak menyenaraikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim dan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim, Azmin berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana semua keputusan adalah atas perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ingin ditegaskan perkara ini tidak berbangkit. Tidak timbul siapa dilantik atau tidak dilantik sebagai EXCO. Perkara penting ialah setiap perkara perlu perkenan tuanku," katanya.

BERIKUT SENARAI PENUH EXCO SELANGOR

1. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

• EXCO Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan komunikasi Strategik.

2. Datuk Teng Chang Khim

• EXCO Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana.

3. Amirudin Shari

• EXCO Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

4. V Ganabatirau

• EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin.

5. Izham Hashim

• EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

6. Datuk Abdul Rashid Asari

• EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

7. Dr Shaharuddin Badaruddin

• EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

8. Ng Sze Han

• EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru.

9. Haniza Mohamed Talha

• EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar.

10. Dr Siti Mariah Mahmud

• EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.

11. Hee Loy Sian

• EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 11:55 AM