KENDERAAN membawa Anwar ke Istana Negara diberi kawalan ketat. FOTO Eizairi Shamsudin
Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


KETUA Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya senyum dan mengucapkan terima kasih sambil melambai kepada ratusan media sebelum dibawa keluar dari Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur untuk ke Istana Negara.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi Strategik PKR Fahmi Fadzil memaklumkan Anwar akan memberi ucapan ringkas berhubung pembebasannya, namun dibatalkan pada saat akhir oleh Penguasa Penjara Sirajuddin Abdul Majid.

Keadaan itu secara tidak langsung menghampakan media tempatan mahupun antarabangsa yang menunggu beliau seawal 7 pagi.

Biarpun media cuba mengajukan pelbagai soalan, Anwar yang dikawal rapi hanya tersenyum dan melambai sebelum masuk ke dalam kenderaan Toyota Fortuner berwarna hitam.

Turut mengiringi beliau, isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menaiki kenderaan sama.

Turut kelihatan anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR.

Sementara itu, pasukan pengiring Anwar diketuai oleh Sirajuddin bersama lebih 50 pegawai dan anggota Unit Kawalan dan Pencegahan (UKP) serta Trup Tindakan Cepat (TTC) Jabatan Penjara Malaysia.

Pasukan berkenaan turut dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 12:31 PM